10 suspek belasah pelajar ditahan

10 suspek belasah pelajar ditahan

am@hmetro.com.my

Seremban: Polis sudah menahan 10 lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian seorang pelajar tingkatan lima dibelasah hingga parah di Paroi, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu.

“Aduan dibuat seorang lelaki, iaitu bapa kepada mangsa yang terbabit. Kejadian dipercayai berlaku berhampiran kedai makan dan gelanggang futsal di Kampung Sentosa Jaya, di sini.

“Mangsa seorang remaja berusia 17 tahun dikatakan dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, akibatnya, mangsa mengalami lebam di bahagian mata kiri dan sakit di seluruh badan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada selisih faham yang mana suspek utama kes ini dipercayai bertindak menyerang mangsa kerana menyangka mangsa mencederakan adiknya,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis memandang serius sebarang bentuk keganasan dan tidak akan berkompromi bagi menegakkan keadilan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar dan memohon saksi awam yang melihat kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Ujarnya, hasil maklumat, pihaknya berjaya menahan 10 suspek lingkungan umur 17 hingga 31 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban untuk soal siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top