10 terbunuh lori dan van penumpang bertembung di Utara India

10 terbunuh lori dan van penumpang bertembung di Utara India

New Delhi: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh pada Isnin selepas sebuah lori muatan bertembung dengan van penumpang di negeri Uttar Pradesh, utara India, lapor Xinhua yang memetik polis.

Kemalangan itu berlaku berhampiran kampung Adalispur di daerah Lakhimpur Kheri, kira-kira 140 kilometer ke utara Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh, apabila sebuah lori yang dipandu laju merempuh van penumpang di lebuh raya Pilibhit-Basti.

Sembilan mangsa maut di lokasi kejadian, manakala seorang lelaki yang cedera parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital daerah.

“Lori itu telah disita tetapi pemandunya melarikan diri dari lokasi kejadian selepas kemalangan itu. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan pemandu yang melarikan diri itu,” kata seorang pegawai polis.

Menurut polis, lori yang dipandu dari arah bertentangan itu, dipercayai gagal dikawal oleh pemandunya sebelum bertembung dengan van penumpang tersebut.

Kemalangan jalan raya yang membawa maut lazim berlaku di India, sering berpunca daripada muatan berlebihan, keadaan jalan raya yang buruk serta pemanduan melulu.

Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuh Raya Persekutuan India Nitin Gadkari baru-baru ini berkata India merekodkan hampir setengah juta kemalangan jalan raya dan 180,000 kematian berkaitan setiap tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top