10 warga Israel diusir Thailand, disyaki terlibat perniagaan haram

10 warga Israel diusir Thailand, disyaki terlibat perniagaan haram

BANGKOK – Thailand mengusir 10 warga Israel selepas mereka disyaki terlibat dalam pengendalian perniagaan haram di pulau peranginan Koh Pha Ngan, ketika pihak berkuasa negara itu memperhebat tindakan terhadap rangkaian jenayah melibatkan warga asing yang dianggap mengancam keselamatan negara.

Menurut laporan Bangkok Post, tindakan itu susulan siasatan polis terhadap puluhan syarikat proksi yang didakwa dimiliki warga Israel tetapi didaftarkan atas nama rakyat Thailand bagi mengelakkan sekatan undang-undang tempatan.

Hasil siasatan mengenal pasti 32 perniagaan yang dipercayai terlibat dalam skim tersebut, termasuk sebuah hotel yang beroperasi tanpa lesen dan menggunakan individu tempatan sebagai pemilik nominal bagi menyembunyikan pemilikan sebenar oleh warga Israel.

Selain itu, sebuah lagi syarikat didapati melanggar peraturan perniagaan Thailand apabila membenarkan pemegang saham asing memiliki pegangan lebih besar berbanding rakan kongsi tempatan.

Pihak berkuasa menganggarkan kerugian akibat aktiviti syarikat-syarikat terbabit melebihi 200 juta baht (RM24 juta).

Siasatan terhadap rangkaian perniagaan berkenaan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak lain yang terlibat.

Sumber polis dilaporkan berkata, warga Israel sebelum ini kurang mendapat perhatian pihak keselamatan Thailand kerana tidak dianggap sebagai ancaman langsung kepada keselamatan negara, berbeza dengan kumpulan warga asing lain yang sering dikaitkan dengan jenayah rentas sempadan.

Thailand merupakan antara destinasi pelancongan paling popular dalam kalangan rakyat Israel, khususnya di Koh Pha Ngan yang menjadi tempat tinggal kira-kira 2,500 ekspatriat Israel selain menerima puluhan ribu pelancong dari negara itu setiap tahun.

Namun, sejak kebelakangan ini warga Israel di Thailand semakin menjadi perhatian susulan beberapa insiden melibatkan tingkah laku tidak sesuai dan konflik budaya dengan penduduk tempatan.

Pada Februari lalu, Kedutaan Israel di Thailand mengeluarkan peringatan kepada rakyatnya supaya menghormati adat serta budaya tempatan selepas beberapa insiden dilaporkan menjejaskan imej pelancong Israel di negara itu.

Awal tahun ini, empat warga Israel turut ditahan dan dihantar pulang selepas polis menemui kokain serta pil ekstasi ketika menyerbu sebuah vila mewah di Koh Pha Ngan.

Pada bulan berikutnya, seorang warga Israel dikenali sebagai Shay Alfasi ditahan kerana disyaki mengendalikan rangkaian pengedaran dadah besar-besaran melalui sebuah restoran miliknya di pulau berkenaan. Dalam operasi itu, polis merampas dadah bernilai lebih 50 juta baht (RM6.1 juta).

Bulan lalu, Thailand turut mengumumkan langkah mengetatkan syarat visa atas faktor keselamatan negara, termasuk mengurangkan tempoh kemasukan tanpa visa daripada 60 hari kepada 30 hari bagi pelawat dari 93 negara, termasuk Israel.-Agensi

Mesti Baca

Scroll to Top