nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Seramai 27,361 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan membabitkan 247 sekolah termasuk di empat daerah dilanda banjir.
Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, daripada jumlah calon berkenaan, seramai 100 calon yang dikenal pasti terjejas banjir.
“Kesemua mereka yang terjejas banjir itu sudah ditempatkan di asrama sekolah yang berkaitan dengan ada menjalani peperiksaan di pusat peperiksaan alternatif.
“Daripada 100 calon SPM yang terjejas itu, 29 pelajar tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah dipindahkan ke asrama bagi memudahkan menduduki SPM.
“Manakala 56 pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda Kajang Sebidang di Tumpat dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah dan kesemua calon menduduki peperiksaan di sekolah berkenaan.
“Seramai 15 pelajar SMK Kutan yang menumpang asrama SMK Mahmud Mahyiddin dibawa menggunakan trak tentera pagi ini bagi menduduki peperiksaan di sekolah asal mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni calon SPM di SMK Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Siti Norina berkata, JPN bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan akan membantu calon SPM yang terjejas banjir sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Kita sentiasa cakna dengan keselamatan dan kebajikan pelajar terutama bencana banjir memandangkan empat daerah di negeri ini masih dilanda banjir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




