100 individu lahir 31 Ogos diraikan di Melaka

100 individu lahir 31 Ogos diraikan di Melaka

am@hmetro.com.my

Melaka: Seramai 100 individu lahir pada 31 Ogos diraikan dalam majlis penuh meriah anjuran Yayasan Belia Sedunia (WYF) sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini, hari ini.

Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, program yang memasuki edisi kedua itu turut diserikan dengan penyertaan 75 peserta mengenakan busana bertemakan kemerdekaan.

“Tahun ini kita berjaya mengumpulkan 100 individu lahir pada 31 Ogos dengan peserta paling tua berusia 67 tahun, manakala termuda berumur setahun.

“Tujuannya bukan hanya meraikan ulang tahun kelahiran malah, menjadi wadah menyemai semangat patriotisme serta mengeratkan hubungan masyarakat,” katanya selepas perasmian majlis itu di Mahkota Parade, Banda Hilir di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan dihadiri isterinya, Toh Puan Asmah Abd Rahman serta Setiausaha Agung WYF, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Kumpulan pengayuh beca yang menamatkan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia selama dua bulan turut hadir memeriahkan acara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top