100 keluarga terima sumbangan bakul makanan

100 keluarga terima sumbangan bakul makanan

BUKIT MERTAJAM – Kegembiraan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dikongsi bersama 100 keluarga memerlukan melalui program bantuan bakul makanan yang dianjurkan Lion Club Cawangan Prai.

Pengerusi penganjur, Zeon Cheong Sze Keat berkata, program dianjurkan itu bertujuan menyantuni mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum di sekitar kawasan Bukit Mertajam.

Katanya, program yang julung kali diadakan itu diinspirasikan melalui pembentukan kerajaan perpaduan dan ia tidak hanya menfokuskan kepada masyarakat Tionghoa yang meraikan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kita mahu kehadiran tahun baharu ini dirasai oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang kurang bernasib baik.

“Meskipun sumbangan yang diberikan tidak seberapa namun diharapkan dapat meringankan beban mereka,” katanya ketika menyerahkan bakul makanan terbabit kepada Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Hadir sama, Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Bernard Cheen yang mewakili Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Tambah Zeon Cheong, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program berkenaan pada Hari Raya Aidilfitri akan datang dengan menambah jumlah penerima bantuan di negeri ini. – MalaysiaGazette