100 kes tibi di Perak sepanjang Januari

100 kes tibi di Perak sepanjang Januari

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sebanyak 100 kes kumulatif Tuberkulosis atau tibi dikesan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak bagi minggu epid pertama hingga keempat tahun ini atau sepanjang Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A Sivanesan berkata, bagaimanapun jangkitan tibi di Perak tidak menyebabkan peningkatan secara mendadak memandangkan ia terkawal, selain masih belum merekodkan kematian.

Menurutnya, semua pesakit yang dikenal pasti itu, menerima rawatan selain pihaknya sudah mengarahkan agar semua fasiliti kesihatan negeri mengambil tindakan berjaga-jaga serta mempersiapkan segala kemudahan rawatan terutamanya bilik pengasingan, susulan kes tibi yang baru-baru ini dilaporkan terjadi di Johor.

JKN Perak mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh JKN Johor pada 5 Februari lalu.

Berdasarkan maklumat setakat ini, tiada kaitan antara kes tibi di Kota Tinggi (Johor) dengan mana-mana individu di Perak.

“Juga, tiada kes kematian akibat daripada tibi di Johor mahupun di Perak. Selepas kita mendapat tahu berkaitan tibi di Johor, kita di Perak sudah ambil segala tindakan dengan kesemua 89 klinik (Klinik Kesihatan) sudah dimaklumkan untuk berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Hospital Pantai Ipoh, di sini, hari ini.

Menurutnya, penyakit tibi tertakluk kepada perlunya melaporkan atau notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mewajibkan pengamal perubatan melaporkan segera sebarang kes tibi kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan.

“Perkara ini penting bagi membolehkan pengesanan kontak rapat untuk menghentikan rantaian jangkitan bakteria tibi serta memastikan pesakit mendapat rawatan yang betul dan lengkap bagi mengelakkan komplikasi yang serius mahupun menjangkiti orang lain.

“JKN Perak sentiasa memantau tren kejadian penyakit tibi dan komuniti dalam mengambil tindakan pencegahan dan kawalan sewajarnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top