New Delhi: Ibu bapa di sebuah sekolah di bandar Dhanbad, negeri Jharkhand, India berang selepas kira-kira 100 pelajar perempuan diarah menanggalkan pakaian pada hari terakhir persekolahan.
Menyifatkan perkara itu satu penghinaan, ibu bapa pelajar mempersoalkan tindakan pengetua M Devashree yang tergamak mengeluarkan arahan berkenaan.
Pengetua itu didakwa mengarahkan pelajar menanggalkan pakaian seragam sebelum meninggalkan sekolah selepas melihat baju masing-masing diconteng dengan mesej tamat persekolahan oleh rakan.
Dia mendakwa ‘kotoran’ itu akan menjejaskan reputasi sekolah dan sebagai hukuman, pelajar perempuan perlu menanggalkan baju terbabit.
Ramai mendakwa mereka dipaksa membuka baju di hadapan guru lelaki dan segelintirnya terpaksa memakai ‘blazer’ sahaja.
Puluhan ibu bapa memfailkan aduan dan seorang daripadanya berkata kepada The New Indian Express, “pelajar terpaksa akur kerana takutkan pengetua itu. Mereka yang teragak-agak melakukannya akan dipaksa menanggalkan baju.
“Sementara terdapat 20 pelajar mempunyai baju gaji, ada kira-kira 100 pelajar lagi pulang dengan hanya memakai blazer. Kami sangat terkejut melihat anak kami dihina sebegini,” katanya.
Ibu bapa mendakwa pengurusan sekolah tidak boleh mempertahankan tindakan itu lagi.
“Ini adalah satu bentuk serangan mental,” katanya.
Dilaporkan telefon bimbit pelajar dirampas bagi mengelak insiden itu dirakam, selain ramai yang enggan kembali ke sekolah kerana trauma dengan kejadian mengejutkan itu.
Timbalan Komisioner Madhvi Mishra menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat kejadian berkenaan.
“Penjaga memfailkan aduan dan kami sudah bercakap dengan beberapa pelajar terjejas. Pentadbiran daerah menguruskan perkara ini dengan secepat mungkin dan tindakan akan diambil berdasarkan laporan jawatankuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




