am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak RM4.5 juta dana zakat diperuntukkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi menaja sepenuhnya pengajian 100 pelajar dari Kemboja di tiga institusi pengajian di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tajaan itu meliputi yuran pengajian, asrama, wang saku dan keperluan lain sepanjang tempoh pengajian.
Katanya, inisiatif terbabit adalah hasil kerjasama strategik antara MAIWP dan Yayasan Pembangunan Islam Kemboja selaras dengan komitmen bersama memperkasakan pendidikan dan pembangunan sosio-ekonomi komuniti Islam serantau.
“Kerjasama ini bertujuan membantu meringankan beban pelajar dari Kemboja untuk melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia.
“Jalinan ini satu peluang bagi melahirkan barisan pemimpin masa depan dari kalangan pelajar Muslim Kemboja yang menerima pendidikan di institusi tempatan.
“Tentunya ini satu penghormatan buat negara kita menerima bakal pemimpin dari Kemboja untuk menyambung pengajian di sini,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIWP dan Yayasan Pembangunan Islam Kemboja di Kolej Universiti Islam Antarabangsa MAIWP, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kolaborasi itu bertepatan dengan tema ASEAN tahun ini iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang menunjukkan bagaimana pendidikan mampu menyatukan perbezaan demi masa depan yang lestari.
“Tiga institusi menerima kemasukan pelajar Kemboja melalui program ini ialah Kolej Profesional MAIWP (30 pelajar), Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) (20 pelajar) dan Kolej Dar Al-Hikmah (50 pelajar),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap bantuan itu memberi semangat kepada pelajar untuk menuntut ilmu bersungguh-sungguh demi mengubah nasib diri, keluarga dan menyumbang kepada pembangunan negara masing-masing.
Katanya, kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Islam Kemboja tidak akan terhenti pada aspek pendidikan semata-mata dan diharap menjadi pemangkin kepada perluasan kerjasama di pelbagai bidang.
Katanya, satu seminar pemerkasaan komuniti Islam ASEAN turut berlangsung pagi tadi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan masyarakat Islam.
“Seminar ini menjadi platform penting bagi kita berkongsi pengalaman dan merangka strategi bersama, khususnya dalam memperkukuh komuniti Islam di Kemboja serta negara-negara minoriti Islam di Asia Tenggara.
“Seminar berkenaan dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi Islam termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP),” katanya.
Sementara itu, Menteri Kanan (Hal Ehwal Agama) Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas peluang kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya peluang yang diberikan kepada pelajar Kemboja untuk melanjutkan pelajaran di institusi di negara ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada rakyat Kemboja,” katanya.
Katanya, peluang itu membuka ruang kepada pelajar Kemboja untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang, termasuk keagamaan, tradisional dan kemahiran, sekali gus mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd