SERAMAI 100 sukarelawan terlibat dalam menjayakan program penanaman pokok dan pembelajaran ekologi secara inklusif anjuran Canon Marketing Malaysia (Canon) di SIREH Park, Iskandar Puteri, Isnin lalu.
Ketua Cawangan Canon Johor Bahru, Benny Tai berkata, acara yang berlangsung selama satu hari itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan perniagaan iaitu A.T Plan Sdn. Bhd. serta sokongan SIREH Park dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Menurutnya, program tersebut merupakan sebahagian daripada kempen ‘One Canon One Tree’ yang dijalankan di seluruh negara, dengan lebih 10,000 pokok telah ditanam sejak 2016.
“Dengan memperluaskan inisiatif ini ke Johor, syarikat kami terus memperkayakan kawasan hijau bandar di negeri ini sambil memupuk hubungan komuniti yang bermakna.
“Sebagai sebahagian daripada komuniti Johor, kami berbangga dapat menyumbang kembali dengan cara yang menyokong alam sekitar serta masyarakat sekeliling.
“Program ini bukan sekadar menanam pokok, tetapi turut memupuk minat terhadap alam semula jadi dan menyedarkan peranan kita dalam membina masa depan lestari,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sukarelawan, kanak-kanak istimewa, penjaga bersama rakan kerjasama dari Canon, SIREH Park, AT Plan dan MBIP di SIREH Park sempena program One Canon One Tree.
Tambah Benny, selain aktiviti menanam pokok, Canon turut menganjurkan eksplorasi taman secara berpandu untuk kanak-kanak berkeperluan khas sebagai satu cara bermakna untuk mereka berhubung dengan alam semula jadi.
Ujarnya, kanak-kanak itu turut melakukan kunjungan ke Edu Farm, iaitu zon pembelajaran ekologi interaktif yang menempatkan pelbagai jenis haiwan, tanaman dan hidupan akuatik.
“Dengan menggunakan kamera Canon, mereka merakam perkara yang menarik perhatian, sekali gus menzahirkan perasaan dan pengalaman masing-masing melalui fotografi.
“Pengalaman inklusif ini direka bagi menggalakkan pemerhatian, ekspresi kendiri dan hubungan dengan alam sekitar dalam persekitaran terbuka yang selamat.
“Ini selaras dengan kepercayaan Canon bahawa alam semula jadi mudah diakses oleh semua,” jelasnya.
Menurut Benny, Canon Malaysia akan terus memperluas kempen ‘One Canon One Tree’ melalui kerjasama strategik melibatkan pencitraan, pemuliharaan dan pembelajaran inklusif.
Beliau berkata, selaras dengan falsafah Kyosei, Canon komited mencipta nilai jangka panjang untuk komuniti dan alam sekitar di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua SIREH Park, Faisal Mohd Nor berkata, SIREH Park merupakan taman rekreasi komuniti hijau bandar terbesar di Malaysia dengan keluasan 343 ekar.
Ujarnya, taman itu juga menjadi tunggak utama strategi Johor dalam mengimbangi pembangunan dengan pemeliharaan biodiversiti.
“SIREH Park yang diuruskan oleh Nusajaya Natural Heritage Trust menyasarkan penanaman 25,000 pokok dan penyerapan lebih 300,000 kilogram karbon dioksida, selain menyediakan ruang dinamik untuk aktiviti rekreasi, pembelajaran dan pemulihan habitat.
“Penglibatan Canon membawa dimensi kreatif dan inklusif kepada misi pemuliharaan kami. Kita bukan sekadar menanam pokok, tetapi turut menyemai semangat komuniti yang menghargai dan melindungi alam sekitar,” katanya.