100 tahun bekal minyak!

100 tahun bekal minyak!

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Hanya mempunyai tiga pekerja, dua pam dan struktur premis berkeluasan kira-kira 2 meter persegi, stesen minyak lama dikatakan berusia 100 tahun di Pekan Johol di sini, masih utuh berdiri dan beroperasi.

Selain menjadi keperluan kepada penduduk setempat kerana ia satu-satunya stesen minyak yang ada dalam lingkungan 32 kilometer (km), ia juga menjadi tarikan kepada orang luar kerana nilai sejarah dan keantikannya.

Penduduk mendakwa ia stesen minyak paling tua di Malaysia dan yang masih beroperasi itu dipercayai sudah beberapa kali mahu dirobohkan atas beberapa faktor namun akhirnya dibatalkan memandangkan tiada kemudahan seumpama di kawasan berkenaan.

Pekerja, R Mary Agnes, 45, berkata, dia tidak pasti usia sebenar stesen minyak berkenaan namun ia adalah perniagaan keluarga yang diwarisi sejak turun temurun.

“Saya bekerja di sini sudah hampir 10 tahun. Di stesen ini, hanya terdapat dua pam, satu untuk diesel dan satu lagi untuk petrol serta menjual minyak hitam.

“Barang-barang lain tidak dijual seperti stesen minyak moden ketika ini yang dilengkapi premis besar.

“Saya tidak pasti berapa umur stesen ini, ada kata 100 tahun dan ada dakwa dalam lingkungan 80 tahun. Namun pekan ini memang sudah wujud ketika 1930-an,” katanya.

Menurutnya, meskipun nampak kecil, stesen minyak berkenaan menerima ramai pelanggan sehingga ada yang sanggup beratur.

“Selain itu, ia menjadi tumpuan bagi orang luar kerana antik ditambah dengan suasana pekan yang dikelilingi rumah kedai lama. Ada yang datang dari luar negara singgah di sini untuk bergambar.

“Malah, ada juga pengantin yang datang ke sini untuk menjalani sesi fotografi. Kami memang tiada halangan, malah gembira kerana ia menjadi tarikan,” katanya.

Pelanggan, Norrizam Kassim@Abdul Karim berkata, jika stesen minyak itu tiada, mereka terpaksa ke Pekan Senaling di sini sejauh 17 km atau ke Pekan Tampin sejauh 18 km untuk mengisi petrol.

“Pekan Johol ini adalah laluan Tampin ke Kuala Pilah. Di sini hanya terdapat stesen minyak ini sahaja dan atas faktor itu, ia masih beroperasi meskipun saya difahamkan usianya sudah mencecah 100 tahun.

“Saya difahamkan sudah beberapa kali stesen minyak ini mahu dirobohkan atas beberapa sebab terutama membabitkan faktor keselamatan namun dibatalkan atas permintaan penduduk.

“Selain menjadi keperluan kepada penduduk setempat, stesen minyak ini mempunyai nilai sejarah dan suatu tarikan kepada orang luar kerana saya difahamkan ia adalah stesen paling tua yang masih beroperasi di negara ini.

“Sayang jika dirobohkan. Saya berpendapat ia patut dikekalkan sebegini meskipun kelak akan wujud stesen minyak baharu di kawasan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd