100 taska tahfiz, Thalatha Tis'a akan diwujudkan tahun depan

100 taska tahfiz, Thalatha Tis'a akan diwujudkan tahun depan

Jertih: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan memperluaskan program tahfiz dikenali Thalatha Tis’a ke 100 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohd Hanafiah Man berkata program itu, yang mula diperkenalkan tahun ini, adalah kesinambungan kepada program Pra Tahfiz yang dilancarkan tahun lepas.

“Program ini diwujudkan bagi melahirkan generasi celik al-Quran seawal usia tiga tahun, manakala Pra Tahfiz bermula pada usia lima hingga enam tahun.

“Setakat ini, program rintis Thalatha Tis’a dilaksanakan di empat Taska iaitu di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santunan Desa Kemas dan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku Peringkat Terengganu 2025 di Kampung Keluang di sini, hari ini.

Beliau berkata seramai 1,000 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dijangka menyertai program itu di 100 Taska terbabit.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, katanya tenaga pengajar Taska Kemas terpilih akan menjalani kursus dan bengkel melalui kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Yayasan Pahang.

Mohd Hanafiah berkata sambutan dan maklum balas ibu bapa juga amat positif, sekali gus meningkatkan jumlah kemasukan ke Taska dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top