Mach, Pakistan: Tiga orang terbunuh dan kira-kira 100 tebusan dibebaskan oleh tentera Pakistan pada Selasa, selepas militan bersenjata menyerang kereta api yang membawa lebih 450 penumpang di wilayah Balochistan di barat daya negara itu.
Tidak jelas berapa ramai orang yang masih berada di dalam kereta api itu kerana pasukan keselamatan meneruskan operasi semalaman.
Sebelum merampas kereta api pada petang Selasa, militan meletupkan landasan kereta api, memaksa ia berhenti di kawasan terpencil.
“Orang ramai mula bersembunyi di bawah tempat duduk dalam keadaan panik. Militan memisahkan lelaki daripada wanita. Mereka membenarkan saya dan keluarga saya pergi kerana saya memberitahu mereka saya seorang pesakit jantung,” kata Allahditta, 49, kepada AFP dari hospital sementara di stesen kereta api di Mach.
“Saya berada di dalam kereta api bersama bapa dan abang saya apabila militan menjadikan kami tebusan.
“Mereka membenarkan saya pergi tetapi mereka masih ada,” tambah seorang wanita berusia 32 tahun, yang enggan namanya disiarkan.
Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi berkata, pasukan keselamatan menyelamatkan lebih 100 orang, sambil menambah bahawa 16 “pengganas” terbunuh.
Sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa “operasi pembersihan sedang berjalan”, selepas melaporkan tembakan antara militan dan pasukan keselamatan.
Tentera Pembebasan Baloch (BLA), kumpulan pemisah di sebalik peningkatan keganasan di wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran, mengaku bertanggungjawab atas insiden berkenaan.
Muhammad Kashif, pegawai kanan kerajaan kereta api di Quetta, ibu kota wilayah itu, sebelum ini memberitahu AFP bahawa “lebih 450 penumpang di dalam kereta api itu” dijadikan tebusan.
Beberapa penumpang dibebaskan oleh militan dan berjalan selama berjam-jam untuk sampai ke stesen kereta api terdekat, dari mana mereka menaiki kereta api lain ke Mach.
Pemandu kereta api, seorang pegawai polis dan tentera terbunuh dalam serangan itu, menurut paramedik Nazim Farooq dan pegawai kereta api, Muhammad Aslam, kedua-duanya di stesen kereta api Mach.
Dalam satu kenyataan, BLA berkata, lelaki bersenjata mengebom landasan kereta api sebelum menyerbu menaiki kereta api.
“Militan dengan pantas mengawal kereta api dan menjadikan semua penumpang sebagai tebusan,” katanya dalam kenyataan media.
Insiden itu berlaku kira-kira 1 tengah hari di daerah luar bandar Sibi, berhampiran stesen bandar di mana kereta api itu sepatutnya berhenti.
Kereta api itu telah bertolak dari Quetta ke Peshawar, di barat laut Khyber Pakhtunkhwa, kira-kira jam 9 pagi, untuk perjalanan lebih 30 jam.
Kawasan itu adalah kawasan pergunungan yang memudahkan militan mempunyai tempat persembunyian dan merancang serangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



