am@hmetro.com.my
Tamparuli: Lebih 1,000 penduduk dari tujuh kampung di daerah ini bergadai nyawa menggunakan laluan sementara yang tidak selamat selepas jambatan bailey menyeberangi Sungai Bawang musnah oleh banjir besar sejak enam bulan lalu.
Laluan sementara itu dibina untuk memudahkan penduduk Kampung Bawang, Kiwoi, Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan dan Rangalau Lama keluar masuk.
Turut menggunakan laluan itu ialah tenaga pengajar serta murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, SK Togop, SK Lingga dan SK Rangalau Lama.
Bagaimanapun, pembinaan jambatan baharu menyeberangi sungai itu belum bermula, memaksa penduduk terbabit menggunakan laluan sementara itu walaupun sedar risiko bahaya memandangkan ketiadaan jalan lain.
Tinjauan mendapati laluan sementara yang dibina berhampiran jambatan musnah mengalami mendapan serius berpunca tanah di atas permukaan jalan lembut, selain bahagian pangkal jalan mudah terhakis setiap kali paras air sungai meningkat.
Penduduk, Julaimin Abdullah, 66, berkata laluan sementara itu sudah beberapa kali mengalami mendapan dan hakisan yang boleh memberi risiko runtuh, namun hanya dibaiki semula kontraktor.
“Keadaan fizikal laluan sementara itu yang dibina atas beberapa saluran air besar cukup berbahaya kepada lalu lintas jika tidak berhati-hati ketika melaluinya kerana struktur binaannya tidak kukuh.
“Kemudahan itu tidak boleh digunakan berpanjangan dalam keadaan tidak selamat untuk mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku kepada penduduk,” katanya.
Difahamkan, jambatan yang rosak itu sepatutnya digantikan dengan kemudahan baharu yang kerja pelaksanaannya dijadualkan siap September 2025.
Namun, sehingga ini kemudahan itu belum dimulakan pembinaan tanpa diketahui faktor kelewatan pelaksanaan.
Penduduk, Edwin John, 52, mengakui penyediaan laluan sementara itu mengurangkan kesulitan penduduk tujuh kampung terjejas dapat keluar masuk dengan lancar menggunakan kenderaan.
“Namun, timbul masalah lain yang mengancam keselamatan penduduk apabila kemudahan itu menjadi tidak selamat digunakan kerana struktur laluan sementara itu semakin tidak kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat menyegerakan pembinaan jambatan baharu di situ demi kemudahan serta keselamatan penduduk tujuh kampung terbabit.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim berkata, ketika kejadian Julai tahun lalu, jambatan itu sedang dalam kerja naik taraf sejak Mac dan dijadualkan siap September 2025.
“Apa yang berlaku ke atas kemudahan itu luar jangkaan, namun akan membina semula kemudahan baharu di lokasi sama selepas semua urusan berkaitan selesai,” katanya.
Beliau berharap penduduk dapat bersabar kerana jambatan yang musnah itu akan diganti baharu lebih selamat untuk kemudahan penduduk dari tujuh kampung terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd