
Dokumen sulit pesakit yang dijadikan pembalut makanan. Foto Agensi
BANGKOK – Sebuah hospital swasta didenda selepas kira-kira 1,000 rekod perubatan sulit pesakit dijadikan pembungkus makanan gerai tepi jalan.
Insiden kebocoran melibatkan kemudahan perubatan di wilayah Ubon Ratchathani, timur laut Thailand itu didedahkan seorang pempengaruh ketika dia membeli krep rangup, khanom Tokyo.
Menurutnya, butiran pesakit boleh dilihat dengan jelas malah salah satu daripada pembungkus itu memaparkan maklumat tentang seorang lelaki dijangkiti virus hepatitis B.
Klip yang meraih 33,000 reaksi dan 1,700 komen itu turut menjadi tular selepas ia dikongsikan pada Mei 2024.
Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Perlindungan Data Peribadi (PDPC) mengumumkan denda sebanyak 1.21 juta baht (RM157, 972) dikenakan ke atas hospital berkenaan kerana melanggar undang-undang data.
Siasatan PDPC mendapati lebih 1,000 fail dilindungi telah bocor ketika proses pemusnahan dokumen yang dikendalikan perniagaan kecil sebuah keluarga.
Pemilik perniagaan itu yang gagal memusnahkan dokumen tersebut turut didenda 16,940 baht (RM2,211).
Difahamkan, PDPC berjaya menyelesaikan enam kes pelanggaran data peribadi dan denda pertama dikenakan pada Julai 2024, dua tahun selepas Akta Perlindungan Data Peribadi 2019 berkuat kuasa. – Agensi
Â