GEORGE TOWN : Kira-kira 10,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Pulau Pinang yang diadakan di Spice Arena di sini, petang ini.
Antara kenamaan yang hadir termasuk Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri, Tan Lean Kee serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.
Turut hadir ialah kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Jagdeep Singh Deo; bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng; barisan Exco kerajaan negeri, pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan dan jabatan kerajaan serta pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing.
Difahamkan, ini kali pertama majlis rumah terbuka itu diadakan pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat di negeri ini khususnya untuk bersama-sama meraikan sambutan tersebut secara inklusif.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sambutan yang diterima pada majlis rumah terbuka kali ini sedikit meriah berbanding tahun lepas dengan pelbagai acara serta persembahan yang disusun sebagai hiburan untuk pengunjung.
“Saya berharap agar sambutan seperti ini dapat memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini dan semoga Pulau Pinang boleh menjadi teladan dan contoh yang baik dalam hal ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagi seorang pengunjung, L. Suresh, 44, ini kali pertama dia menghadiri Majlis Rumah Terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang dan berharap agar majlis seperti itu diteruskan setiap kali adanya perayaan besar di negeri ini.
“Selain dapat melihat pelbagai persembahan nyanyian dan tarian yang menarik serta dijamu dengan pelbagai makanan yang enak, saya juga berpeluang untuk mempelajari budaya kaum lain pada majlis seperti ini,” katanya.-UTUSAN



