hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 10,036 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas melalui Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) di sekitar ibu negara.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua notis itu dikeluarkan dalam tempoh tiga hari bermula Selasa lalu hingga semalam.
Katanya, ia merangkumi pelaksanaan 1,330 operasi bersepadu; 8,006 operasi harian dan 700 Op Didik di sekitar ibu negara.
“la membabitkan 9,508 kenderaan dan 528 individu atas pelbagai kesalahan seperti halangan lalu lintas (3,559), mengabaikan isyarat lalu lintas (2,326), tidak mengikut lintasan pejalan kaki (1,835) dan berhenti di petak kuning (525) serta nombor pendaftaran kenderaan kotor, kabur atau ‘fancy’ (458).
“Selain kesalahan lain ialah nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut peraturan (224), tidak memakai tali pinggang keledar (32), berhenti di garisan putih (470) dan mengubahsuai motosikal (199),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Untuk rekod, Op PUU yang dilaksanakan bermula 6 September lalu menumpukan aspek pendidikan, pembabitan komuniti, pengurangan kesesakan akibat sikap pengguna jalan raya dan usaha pencegahan jenayah.
Operasi itu juga bertujuan menanam kesedaran jangka panjang mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




