mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 102,646 peralatan perubatan berusia lebih 10 tahun milik Kementerian Kesihatan (KKM) direkodkan masih aktif.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sentiasa memberikan perhatian terhadap keperluan penggantian peralatan yang Beyond Economy Repair (BER) dan komited dalam memastikan semua peralatan dalam keadaan yang terbaik.
“Sehingga kini, terdapat 102,646 bilangan peralatan perubatan yang berusia melebihi 10 tahun yang masih aktif.
“KKM sentiasa memastikan peralatan ini boleh digunakan dengan baik dan optimum serta diselenggara mengikut ketetapan pengilang dan piawaian, melalui program penyelenggaraan komprehensif bagi memastikan peralatan perubatan selamat digunakan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) mengenai jumlah alatan dan kelengkapan perubatan yang melebihi 10 tahun kepenggunaan dan tindakan bagi mengganti alatan itu.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pada masa ini, KKM juga sedang melaksanakan perolehan fasa pertama membabitkan 590 unit kenderaan ambulans dan 41 unit Patient Transport Service Vehicle (PTSV) dengan kos keseluruhan RM265.5 juta.
“KKM juga diberikan kelulusan peruntukan sebanyak RM304 juta di bawah perolehan fasa kedua kenderaan ambulans.
“Selain itu, sehingga November 2024, KKM menerima permohonan penggantian kenderaan lain bagi hospital hospital dan institusi khas KKM sebanyak 75 unit dengan nilai RM11.6 juta.
“Permohonan ini bertujuan menggantikan kenderaan uzur, Beyond Economic Repair dan perlu dilupuskan,” katanya.
Beliau berkata, KKM akan sentiasa berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan khususnya membabitkan penggantian peralatan perubatan serta memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan pesakit secara keseluruhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




