rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 105 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 sebagai penghargaan tertinggi atas komitmen yang dicurahkan mereka.
Ketua Pengarah Maritim Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli berkata, penganugerahan itu bukan sekadar simbol penghormatan tetapi menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga agensi itu untuk terus mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan profesional.
“Keunggulan agensi bukan hanya terletak pada kecekapan operasi, tetapi pada iltizam setiap pegawai untuk menjunjung amanah negara dengan penuh taat setia dan keberanian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan Reben Perkhidmatan Cemerlang Maritim (RCM) kepada sembilan penerima APC yang menerima sebanyak tiga kali anugerah APC sepanjang perkhidmatan di Maritim Malaysia dalam satu majlis di sini, hari ini.
Penerima APC terdiri daripada petugas dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Maritim Negeri Selangor, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Stesen Udara Maritim Subang serta Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.
Majlis anjuran bersama Bahagian Sumber Manusia Maritim itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Dalam pada itu, Mohd Rosli menyeru penerima menjadi teladan dan pembimbing kepada generasi baharu dalam agensi selain terus memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan kecekapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd