am@hmetro.com.my
Dungun: Seramai 11 orang cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat, dekat Paka, malam tadi.
Kemalangan itu membabitkan kereta Proton Persona, Toyota Hilux, Isuzu D-Max dan Perodua Axia.
Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Paka, PBK II Norhazamullah Abdullah berkata,
pihaknya menerima panggilan berhubung dengan kemalangan itu pada jam 9.54 malam.
Menurutnya, sepasukan lima anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian dan tiba kira-kira lima minit kemudian.
“Seorang wanita dewasa yang juga penumpang Proton Persona didapati tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
“Kami bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
” Pemandu Proton Persona turut mengalami kecederaan, manakala pemandu Toyota Hilux dan Isuzu D-Max serta beberapa penumpang lain hanya cedera ringan,” katanya.
Norhazamullah berkata, sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian, sebahagian mangsa sudah berjaya dikeluarkan orang awam.
“Pihak kami turut melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 10.50 malam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




