11 Ketua Cabang PKR Kedah gesa gantung keahlian 9 Ahli Parlimen

11 Ketua Cabang PKR Kedah gesa gantung keahlian 9 Ahli Parlimen

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sebelas Ketua Cabang PKR Kedah menggesa siasatan tatatertib dan penggantungan serta-merta keahlian sembilan Ahli Parlimen parti itu susulan membuat sidang media bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan pendekatan semua Ahli Parlimen terbabit melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR di bawah Perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan Parti khususnya berkaitan tanggungjawab menjaga nama baik parti, mematuhi keputusan parti dan mengelak daripada sabotaj dalaman.

“Kami menyokong penuh desakan akar umbi PKR supaya keahlian sembilan Ahli Parlimen berkenaan digantung serta-merta serta mendesak Jawatankuasa Disiplin Parti memulakan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa bertangguh.

“Kami juga mengulangi komitmen untuk terus berdiri teguh bersama Presiden Parti dan kepimpinan PKR dalam meneruskan agenda reformasi dan memperkukuh institusi negara,” katanya dalam kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Ketua Cabang Sik, Habib Ahmad Muhaiyuddin, S Poobalan (Jerai), Mohd Tahar Hussin (Padang Terap), Ismail Wasi Ahmad Shafawi (Langkawi) serta Azizi Azizan (Kubang Pasu).

Turut bersama Ketua Cabang Kuala Kedah, Shakir Sheik Lukman, Chandar M Subramaniam (Baling), Halim Khomiza (Pendang), Mohamad Rudzi Samsudin (Jerlun), Yeo Keng Chuan (Kulim Bandar Baharu) dan Mohd Altab Pa Ibrahim (Pokok Sena).

Menurut kenyataan itu, tindakan terbuka sembilan Ahli Parlimen itu tidak mencerminkan semangat setiakawan dalam parti, malah dilihat mencabar kewibawaan presiden dan struktur kepemimpinan parti yang sepatutnya dihormati dan dipatuhi semua ahli, lebih-lebih lagi oleh pemimpin berstatus Ahli Parlimen.

“Kami berpandangan saluran dalaman parti seperti Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) wujud khusus untuk membincangkan isu-isu dasar serta kebimbangan berkaitan pentadbiran kerajaan.

“Sebarang tindakan luar saluran bukan sahaja melanggar disiplin organisasi tetapi turut memberi ruang kepada eksploitasi politik oleh musuh-musuh parti yang mahu melihat PKR berpecah.

“Sebagaimana termaktub dalam Kod Tataetika Anggota Parti, tindakan seperti ini jelas bertentangan dengan Perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan Parti.

“PKR dibina atas asas perjuangan, disiplin dan solidariti. Tiada siapa pun harus bertindak melebihi parti.

“Mana-mana tindakan individu yang menjejaskan kesepaduan dan kepercayaan rakyat terhadap parti wajib ditangani dengan segera dan tegas,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, semua ahli PKR khususnya di Kedah digesa supaya kekal tenang, tidak terpengaruh dengan agenda yang mengelirukan dan terus menyokong kepimpinan Anwar dalam memperjuangkan agenda reformasi demi rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top