11 kru Vietnam candat sotong ditahan

11 kru Vietnam candat sotong ditahan

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Dua tekong dan sembilan kru warga Vietnam ditahan bersama dua bot tempatan kerana kesalahan mencandat sotong di kawasan 10 batu nautika perairan Pekan dekat Kuala Pahang, semalam.

Mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 49 tahun dan kira-kira 500 kilogram (kg) sotong turut dirampas.

Pengarah Jabatan Perikanan, Pahang Abdullah Jaafar, berkata kehadiran dua bot itu disedari anggota Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) jabatan berkenaan ketika melakukan rondaan pada 5.15 pagi.

Katanya, aktiviti menangkap sotong bagi kelas bot berkenaan hanya dibenarkan di kawasan 12 batu nautika ke atas sahaja namun ketika ditahan ia berada di kawasan 10 batu nautika.

“Bagi kesalahan melanggar syarat lesen itu mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25 akta sama,” katanya, di sini semalam.

Abdullah berkata, semalam CPS turut menahan sebuah bot tempatan dengan hasil tangkapan 100kg ikan bersama seorang tekong dan empat awak-awak tempatan yang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kawasan tujuh batu nautika perairan Kuala Pontian, Endau Rompin.

“Aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda hanya boleh dilakukan di kawasan 12 batu nautika ke atas, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 11, 3 (b) Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25 akta sama,” katanya.

Katanya, dua bot bersama dua tekong dan sembilan kru warga Vietnam kini ditempatkan di pangkalan CPS Jabatan Perikanan Pahang, Padang Lalang, di sini manakala bot pukat tunda ditempatkan di jeti nelayan Endau untuk proses tindakan undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top