am@hmetro.com.my
Pendang: Sebanyak 11 sekolah di tiga daerah di negeri ini dilaporkan terjejas akibat ribut semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, enam sekolah terjejas di daerah Pendang manakala empat sekolah di daerah Kulim/Bandar Baharu serta satu sekolah di daerah Kota Setar.
Beliau berkata, sekolah yang terjejas termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Hj Mohamad Arif, SK Paya Mengkuang; SK Paya Mak Insun; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Puteh Dalam, Akademi Sains Pendang dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang di Pendang.
“Selain itu, empat sekolah di daerah Kulim/Bandar Baharu yang terjejas dalam kejadian itu adalah di SK Dato Hj Zainudin, SMK Serdang, SMK Lubuk Buntar dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ganesar manakala satu sekolah di Kota Setar ialah SK Kangkong.
“Hanya satu sekolah iaitu SK Hj Mohamad Arif di Pendang ini melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula hari ini hingga Khamis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku dalam kejadian ribut itu.
Beliau turut berterima kasih kepada pihak JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah yang mengambil tindakan awal bagi mengenal pasti kerosakan yang berlaku.
Dalam pada itu beliau berkata, JPN akan cuba mendapatkan peruntukan kecemasan bencana dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dibuat dengan segera supaya murid-murid dapat meneruskan sesi pembelajaran dalam keadaan yang selesa dan selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




