11 terperangkap dalam terowong Sungai Pisang diselamatkan

11 terperangkap dalam terowong Sungai Pisang diselamatkan

hafidzul@hmetro.com.my

Gombak: Seramai 11 pendaki berdepan detik cemas selepas terperangkap di dalam terowong akibat arus sungai deras di Sungai Pisang Waterfall Trailhead di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.11 petang.

Katanya, seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, terdapat sekumpulan pendaki terdiri daripada 11 individu terperangkap di dalam terowong akibat arus sungai deras.

“Pengadu memaklumkan mereka tidak dapat menyeberang kerana laluan terhalang dan anggota kemudiannya bergerak naik ke lokasi pinpoint yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua mangsa terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 20-an berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada 5.15 petang.

“Anggota turut menggunakan tali penyelamatan serta peralatan personal flotation device (PFD) ketika operasi menyelamat dijalankan.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan turut dilakukan bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, operasi terkawal pada 6.31 petang sebelum ditamatkan pada jam 7.02 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top