110 kenderaan disita menerusi Op Selamat 25 di ibu negara

110 kenderaan disita menerusi Op Selamat 25 di ibu negara

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Deruan ekzos kenderaan yang diubah suai hingga ‘bergaung’ di celah bangunan tinggi ibu kota dipercayai antara punca utama mencetuskan ketidakselesaan dan gangguan awam, malah berisiko menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, keadaan struktur bangunan tinggi di sekitar pusat bandar menyebabkan bunyi ekzos menjadi lebih kuat dan bergema.

Katanya, operasi bersepadu sempena Op Selamat 25 dijalankan dalam dua fasa bermula 10 malam hingga 4 pagi di beberapa lokasi di sekitar ibu negara yang memfokusan kepada kenderaan dan motosikal dipercayai terbabit aktiviti ‘merempit’ serta yang diubah suai.

“Ekzos diubah suai ini menyebabkan bunyi terlalu bising. Kita kena faham di Kuala Lumpur banyak bangunan tinggi-tinggi

“Jadi apabila kenderaan dipandu laju, bunyi itu akan bergema dan menjadi satu masalah kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau operasi bersepadu sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 yang dijalankan di sekitar ibu kota semalam hingga awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, Zamzuri berkata, operasi itu membabitkan kekuatan seramai 15 pegawai dan 85 anggota daripada JSPT Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Kira-kira 70 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai nombor pendaftaran, penggunaan ekzos bising serta kesalahan berkaitan dadah membabitkan tiga kes ganja dan satu kes methamphetamine.

“Selain itu, lebih kurang 40 kereta yang diubah suai turut disita, kebanyakannya kerana penggunaan ekzos tidak mengikut spesifikasi,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, kira-kira 720 saman dikeluarkan membabitkan kenderaan yang diubah suai, tidak mempunyai brek dan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pemandu dan penunggang motosikal supaya mengelakkan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan mematuhi semua peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan diri dan orang lain.

“Kita mahu semua orang peka dan bertanggungjawab di jalan raya supaya kemalangan dapat dielakkan dan semua selamat sampai ke destinasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top