110 tahanan Palestin yang dibebaskan tiba di Ramallah

110 tahanan Palestin yang dibebaskan tiba di Ramallah

Ramallah: Dua bas membawa tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel tiba di Ramallah di Tebing Barat yang diduduki pada Khamis, dengan ketibaan mereka disambut oleh ratusan rakyat Palestin, lapor seorang wartawan AFP.

Perkhidmatan Penjara Israel mengesahkan membebaskan 110 banduan pada Khamis sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Hamas untuk gencatan senjata di Gaza, yang berkuat kuasa pada 19 Januari.

Orang pertama yang turun dari bas di kompleks sukan Ramallah, di mana kedua-dua kenderaan itu tiba ialah bekas ketua pejuang, Zakaria Zubeidi, 49, yang melangkah keluar sambil menunjukkan tanda kemenangan.

Dia segera diangkat oleh orang ramai yang bersorak, lapor wartawan AFP.

Imej televisyen menunjukkan dua bas dari penjara Ofer, tempat banduan terbabit dibebaskan.

Zakaria dilihat dalam memakai pakaian penjara berwarna kelabu, berulang kali menunjukkan tanda kemenangan.

Penduduk Palestin sedang berkumpul di pusat sukan di Ramallah selepas berita tersebar bahawa banduan akan meninggalkan Penjara Ofer.

Orang ramai yang menunggu menjadi tidak sabar dan teruja, sambil melaungkan “Allahu Akbar”.

Laungan “rakyat mahukan Briged Al-Qassam” juga kedengaran ketika penonton bersiul dan mengibarkan bendera Fatah dan kumpulan Palestin lain.

Ketika penantian berterusan, orang ramai dilihat memanjat tembok tinggi perkarangan di mana banduan akan menerima pemeriksaan perubatan singkat, kata wartawan AFP.

Antara 110 banduan yang dibebaskan, 66 dibebaskan di Tebing Barat yang diduduki, sembilan dibebaskan di Gaza, dan 14 pergi ke rumah mereka di Baitulmaqdis Timur yang diduduki oleh Israel, menurut ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Tahanan Palestin, Amin Shuman

Shuman memberitahu AFP, baki 21 banduan akan dibuang negeri dari Israel dan wilayah Palestin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top