bhnews@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Kira-kira 11,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal ditugaskan mengawal keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata jumlah itu, termasuk anggota dan pegawai bantuan dipohon daripada Bukit Aman yang turut digerakkan untuk membantu Polis Johor.
“PDRM bersedia untuk menghadapi PRN Johor dan seramai 10,000 hingga 11,000 pegawai dan anggota sudah bersiap siaga.
“Bagaimanapun, kita masih menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), difahamkan pada 9 Februari depan.
“Kita lihat bagaimana cara kerja berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Kita akan atur gerak anggota dan pasukan pemantau bagi memantau pelaksanaan dan pematuhan SOP berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan Op Tapis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ,di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut memberi jaminan PRN Johor akan berjalan lancar meskipun diadakan dalam tempoh pandemik COVID-19.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan orang ramai dapat keluar mengundi tanpa sebarang halangan dan gangguan.
“Buat masa ini, tiada pembekuan cuti pegawai atau anggota dan kita menunggu pengumuman SPR dan selepas itu kita akan membuat keputusan berkaitannya.
“Kita juga akan menubuhkan pasukan khas bagi memantau media sosial bagi mengelak penyebaran maklumat tidak benar.
“Pasukan khas itu akan membabitkan pegawai dan anggota yang mahir dalam bidang teknologi maklumat daripada pelbagai jabatan dalam pasukan polis,” katanya.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad.
SPR dalam suatu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh penting berkenaan PRN Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




