am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seramai 111 keluarga pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di beberapa negeri terjejas banjir baru-baru ini.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata Kelantan merekodkan mangsa paling ramai iaitu 60 keluarga.
Katanya, ada di kalangan mereka terutama di Rantau Panjang dan Tumpat turut tenggelam disebabkan paras air yang tinggi.
“Justeru hari ini JPJ dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) menyampaikan sumbangan kepada pegawai dan anggota yang terjejas.
“Barangan bantuan kepada mereka juga adalah berbeza mengikut keperluan. Selain pegawai dan anggota JPJ, hari ini Skuad Ihsan Madani JPJ turut menyampaikan sumbangan kepada media yang terjejas banjir serta kumpulan asnaf.
“Seramai 53 keluarga akan menerima bantuan hari ini di tiga daerah iaitu Tunpat, Rantau Panjang dan Tanah Merah,” katanya pada sidang media Program Sumbangan Bantuan Banjir Oleh Skuad Ihsan Madani JPJ, di sini, hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pegawai Khas Kanan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin iaitu Siti Fatma Omar.
Mengulas lanjut katanya, Skuad Ihsan Madani yang ditubuhkan JPJ mempunyai lebih 500 sukarelawan.
“Alhamdulillah kita banyak menerima sumbangan sama ada daripada individu atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk diserahkan kepada mangsa yang memerlukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




