London: Setiausaha Kehakiman Britain, David Lammy mendedahkan 12 banduan dibebaskan secara tidak sengaja dalam tempoh tiga minggu lalu dengan dua daripada mereka masih bebas dan kini diburu pihak berkuasa, lapor BBC.
Angka terbaharu itu menambah kepada 91 kes silap pembebasan yang berlaku di England dan Wales antara April dan Oktober tahun ini.
Lammy menjelaskan bahawa insiden berulang itu berpunca daripada “kesilapan manusia” memandangkan sistem penjara masih bergantung kepada rekod berasaskan kertas.
Beliau memberi jaminan bahawa situasi akan bertambah baik selepas sistem “digital sepenuhnya” diperkenalkan dalam operasi penjara.
Sebagai langkah pembaikan, kerajaan meluluskan pelaburan sehingga 10 juta pound sterling (RM58 juta) untuk memperkenalkan alatan baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kesilapan manusia dan menaik taraf sistem lama.
Lammy turut menegaskan bahawa peningkatan kesilapan itu kini berada pada “landasan menurun”, dan dua banduan yang masih bebas bukan pelaku jenayah ganas atau seksual.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai dua individu yang masih bebas atas alasan menghormati keputusan operasi polis.
Isu pembebasan silap ini menarik perhatian umum selepas Hadush Kebatu, seorang banduan yang dipenjarakan atas kesalahan serangan seksual dibebaskan secara tidak sengaja sebelum ditahan semula dan dihantar pulang ke Ethiopia.
Statistik menunjukkan jumlah banduan tersilap dibebaskan meningkat 128 peratus tahun lalu, melonjak daripada 115 kes antara 2023-2024, kepada 262 kes pada tahun berikutnya.
Sementara itu, Ketua Pemeriksa Penjara, Charlie Taylor berpandangan kesilapan kerana kakitangan kurang berpengalaman terpaksa menguruskan jumlah kes besar, di samping perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai skim pembebasan yang berbeza.
Bagi menangani kegagalan itu, bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Dame Lynne Owens ditugaskan untuk menjalankan semakan terhadap kesilapan yang berlaku dengan laporan penuh dijangka siap pada Februari 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




