Subang Jaya: Kesemua 12 individu termasuk Youtuber yang ditahan, hari ini, kerana terbabit dalam pergaduhan di gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang, di sini, kelmarin berdepan tindakan kompaun RM1,000.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, tindakan itu diambil selepas mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka yang ditahan akan dikenakan kompaun RM1,000 kerana didapati melanggar SOP iaitu tiada penjarakan fizikal.
“Pada masa sama, semua suspek berkenaan direman selama sehari (hari ini) untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Abdul Khalid berkata, pihaknya melakukan dua serbuan sebelum menahan kesemua 12 individu berkenaan bermula 1.30 pagi dan 1.50 pagi tadi.
“Tangkapan pertama membabitkan tujuh lelaki berusia 18 hingga 28 tahun,manakala tangkapan kedua pula membabitkan lima lelaki berusia awal 20-an,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan ‘terjahan keras’ ketika perlawanan futsal dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan individu di gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang, di sini, kelmarin.
Terdahulu, satu hantaran berserta video mengenai seorang youtuber bersama beberapa rakannya didakwa memukul seorang lelaki ketika perlawanan futsal tular di media sosial, sejak semalam.
Dalam video berdurasi 31 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki dilihat bergaduh di gelanggang futsal berkenaan.




