am@hmetro.com.my
Muar: Pemandu lori maut, enam cedera dalam nahas membabitkan 12 kenderaan di Kilometer 129.9 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Pagoh, pagi tadi.
Kemalangan berlaku pada 7.30 pagi mengorbankan pemandu lori berusia 39 tahun.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan itu membabitkan enam lori, lima kereta dan sebuah van.
Katanya, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila lori dipandu lelaki 48 tahun mengalami kerosakan teknikal yang menyebabkan ia berhenti di lorong kecemasan.
“Namun secara tiba-tiba lori itu mengeluarkan asap tebal, mengakibatkan lori yang mengekori di belakang terlindung asap lalu merempuhnya.
“Beberapa kenderaan yang turut berada di belakang merempuh sesama sendiri. Seorang pemandu lori tersepit di tempat duduknya, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Raiz berkata, enam yang cedera adalah pemandu kenderaan, manakala lima lagi tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ujian air kencing dan alkohol terhadap pemandu lori mengalami kerosakan mendapati dia bebas bahan terlarang itu.
“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung nahas itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Ayu Mohamad Japri di talian 010-7724850 atau balai polis trafik Muar bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd