SANDAKAN: Seramai 12 juragan dan awak-awak kapal nelayan Vietnam ditahan bersama dua kapal semasa menceroboh perairan negara semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, kesemua kru kapal nelayan asing yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri itu berusia antara 28 hingga 51 tahun.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta tiada permit untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia daripada Jabatan Perikanan.
Semasa ditahan, anggota PPM turut merampas beberapa set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat tersimpan dalam beberapa buah tong yang dipercayai diperoleh secara haram.
Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kapal nelayan dianggarkan bernilai RM1.75 juta.
Ahmad berkata, kesemua tahanan dan barangan yang dirampas dibawa ke markas operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 25(a) dan Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 dan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Jelas beliau, komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara diminta untuk menghubungi bilik gerakan PPM Sabah di talian 019-9391197 atau 089-221 453. –UTUSAN




