12 negeri catat Rt atasi purata kebangsaan

12 negeri catat Rt atasi purata kebangsaan

ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara berisiko menjadi bertambah buruk apabila 12 negeri mencatat kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) melebihi purata kebangsaan, semalam.

Data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini menunjukkan Rt bagi seluruh negara mengikut kes seharian adalah 1.07 semalam.

Bagaimanapun, peningkatan kes baharu COVID-19 di kebanyakan negeri menyaksikan 12 negeri mencatatkan Rt antara 1.08 hingga 1.35.

Nilai Rt tertinggi dicatatkan oleh Terengganu dengan 1.35, disusuli Kedah (1.28), Melaka (1.24), Perak (1.19), Negeri Sembilan (1.17), Johor (1.16), Pahang (1.16), Selangor (1.12), Pulau Pinang (1.12), Putrajaya (1.11) Kuala Lumpur (1.09) dan Kelantan (1.08).

Sarawak pula mencatatkan Rt 1.0, manakala Sabah dan Labuan merekodkan Rt terendah semalam, masing-masing mencatat 0.94 dan 0.98.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan, selaras jumlah kes harian yang masih melebihi 3,000 setakat semalam.

Meskipun jumlah kes dilihat mula menurun sejak empat hari lalu, trend penularan COVID-19 ketika ini masih melebihi jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM mengunjurkan kes harian berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang awal bulan depan jika Rt kebangsaan meningkat kepada 1.2.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top