12 penuntut IPTA dibebaskan dengan jaminan polis

12 penuntut IPTA dibebaskan dengan jaminan polis

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seramai 12 penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pukul secara bergilir-gilir menggunakan objek tumpul di sebuah kolej kediaman, Ahad lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, ia susulan tempoh tahanan reman terhadap kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 22 tahun itu berakhir hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek sebelum ini ditahan di IPTA berkenaan jam 6 petang Selasa lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menahan 12 penuntut sebuah IPTA di negeri ini yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul secara bergilir-gilir menggunakan objek tumpul di sebuah kolej kediaman, Ahad lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top