12 pesakit Covid-19 maut dalam kebakaran hospital di India

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Mayat mangsa kebakaran diletakkan dalam sebuah ambulans di Hospital Vijay Vallabh di Virar, dekat Mumbai, India hari ini. (Gambar AP)

MUMBAI: Dua belas maut dalam kebakaran di sebuah hospital merawat pesakit Covid-19 di India, ketika negara itu bergelut dengan lonjakan kes harian terbesar di dunia sejak penularan pandemik tahun lalu.

Pegawai kesihatan di seluruh utara dan barat India, termasuk ibu negara New Delhi, berkata mereka kini dalam krisis kerana kebanyakan hospital sudah penuh dan kehabisan bekalan oksigen.

“Dua belas orang maut dalam kebakaran itu, berdasarkan maklumat yang kami ada sekarang,” kata pegawai bomba mengenai kebakaran yang bermula di unit rawatan rapi Hospital Vijay Vallabh di pinggir bandar Mumbai.

Ia adalah kejadian terbaru melanda hospital di India yang sarat dengan pesakit Covid-19.

Rabu lalu, 22 pesakit Covid-19 maut di sebuah hospital kerajaan di negeri Maharashtra akibat kehabisan bekalan oksigen selepas tangki bocor.

Sebanyak 314,835 kes baru direkodkan di India semalam, memecahkan rekod Amerika Syarikat yang dicatatkan Januari lalu dengan 297,430 kes baru. Jumlah kes di AS berkurangan sejak itu.

Bekalan oksigen perubatan dan katil sukar diperolehi sekarang dengan hospital utama mengeluarkan notis mereka tidak mampu lagi menerima pesakit kerana tiada katil kosong.

Max Healthcare, yang mengendalikan rangkaian hospital di utara dan barat India melalui Twitter hari ini merayu untuk bekalan oksigen di semua kemudahannya di Delhi.

“SOS – bekalan oksigen di Hospital Max Smart & Hospital Max Saket hanya dapat bertahan kurang daripada sejam. Menunggu bekalan baru dari INOX yang dijanjikan sejak 1 pagi,” demikian menurut tweet syarikat itu.

Rayuan terdesak yang sama turut dikeluarkan hospital dan orang awam di media sosial sepanjang minggu ini di seluruh India.

Pakar kesihatan berkata, India menjadi leka pada musim sejuk, apabila jangkitan harian sekitar 10,000 kes dan dilihat terkawal serta membatalkan larangan untuk himpunan besar.

Pakar berkata, varian baru Covid-19 dengan mutasi berganda yang lebih mudah berjangkit dan dikesan berasal dari India, mungkin menjadi penyumbang lonjakan besar kes.

Kanada ialah negara terbaru menyekat penerbangan dari India, selepas Britain, UAE dan Singapura.

Britain berkata, ia menemui tambahan 55 kes varian India, yang dikenali sebagai B.1.617, dalam jumlah kes mingguan terbaru, menjadikan keseluruhan 132 kes yang disahkan dan disyaki daripada varian itu.