12 tahun berbakti, bekas bintang takraw kecewa dipinggirkan

12 tahun berbakti, bekas bintang takraw kecewa dipinggirkan

MELAKA: Bekas apit kanan sepak takraw kebangsaan era 70-an, Rahim Kasim, 74, mendakwa jasa dan pengorbanannya selama lebih sedekad tidak pernah mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan.

Rahim berkata, sepanjang 12 tahun menabur bakti mewakili negara, tiada sebarang penghargaan atau bantuan diterima daripada badan seperti Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Persatuan Sepak Melaka (PASTAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Menurut Rahim, dia menderita penyakit parkinson sejak tahun 2001, namun mendakwa tidak pernah menerima sebarang bentuk bantuan daripada pihak berkenaan.

“Saya tak minta banyak, tapi sekurang-kurangnya ada yang datang bertanya khabar pun sudah memadai.

“Mujurlah ada tujuh anak saya yang berjaya dalam bidang profesional membantu, cuma saya sedih ketika saya menderita penyakit parkinson tak ada orang persatuan datang menjenguk,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pewira Cheng di sini hari ini.

Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, beliau mula aktif dalam sukan takraw di Melaka sekitar penghujung 1960-an sebelum menyertai Tentera Laut dan seterusnya mewakili negara pada awal 1970-an.

Ujarnya, sepanjang kariernya, pernah beraksi di pelbagai pentas antarabangsa termasuk Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) di Kuala Lumpur, Bangkok dan Manila, selain mencatat kejayaan membanggakan apabila membantu pasukan negara meraih pelbagai kejuaraan termasuk pingat emas di peringkat Asia.

Selaku apit kanan, Rahim pernah bergandingan dengan beberapa pemain ternama seperti Jalil Aziz dan Isyak Yasin, selain dikenali sebagai pemain regu kedua yang konsisten dan sukar ditewaskan.

Selain itu katanya, dia turut bergandingan dengan adiknya Mubarak Kassim, selaku tekong ketika mewakili Malaysia dalam acara pertunjukan di India pada 1980.

“Zaman itu kami bermain bersungguh-sungguh demi negara. Ada masa bertahun-tahun kami tak pernah kalah,” ujarnya.

Bagaimanapun, pengalaman pahit yang dilalui selepas bersara menyebabkan dia tidak menggalakkan anak-anaknya untuk mengikut jejak langkah sebagai pemain takraw.

“Saya tak pernah paksa anak-anak masuk sukan. Saya suruh mereka belajar bersungguh-sungguh, cari masa depan sendiri,” katanya.

12 tahun berbakti, bekas bintang takraw kecewa dipinggirkan
Rahim Kasim (kanan) membelek pingat Sukan Asia dan Sukan SEAP dibantu Mubarak Kasim di Taman Perwira Cheng, hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP

Dalam pada itu, Rahim berharap agar pihak berkaitan lebih prihatin terhadap kebajikan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu, selain menegaskan bahawa pemilihan pemain juga perlu dilakukan secara adil tanpa pilih kasih. – UTUSAN

Scroll to Top