KANGAR: Sejumlah 1,258.03 tan metrik sisa kutipan direkodkan di Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Mas, Padang Besar, menerusi operasi pasca banjir yang dilaksanakan bermula 29 November sehingga 6 Disember tahun lalu.
Operasi pasca banjir itu melibatkan 189 petugas termasuk penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan sokongan 65 unit jentera.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, pelaksanaan operasi itu juga meliputi 116 kawasan terjejas di bawah perkhidmatan dan seliaan agensi itu membabitkan sebanyak 8,910 premis.
Katanya, angka tersebut bukan sekadar statistik tetapi mencerminkan kesungguhan, pengorbanan dan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipulihkan dengan segera.
“Selain itu, ia juga membuktikan bahawa dengan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan, kita mampu menghadapi sebarang cabaran dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya pada Majlis Apresiasi Pasca Banjir peringkat negeri ini dan
Majlis Berbuka Puasa di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.
Khalid berkata, bencana banjir yang melanda Perlis merupakan satu ujian besar namun di sebaliknya, terserlah kekuatan semangat kerjasama, kesepaduan dan komitmen luar biasa daripada pelbagai pihak.
“Sesungguhnya, para pekerja pembersihan merupakan barisan hadapan dan wira tidak didendang yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kawasan terjejas dapat dipulihkan dengan segera tanpa mengira penat lelah, masa dan cabaran dihadapi,” katanya.
Sementara itu, Khalid berkata, bersempena Ramadan, SWCorp komited untuk terus meningkatkan kesedaran masyarakat dengan memperkasakan kesedaran awam melalui kempen hargai makanan elak pembaziran.
Katanya, pembaziran makanan bukan sekadar soal sikap namun turut memberi kesan besar terhadap sistem pengurusan sisa pepejal negara di mana secara tidak langsung mengundang tekanan kepada kapasiti tapak pelupusan.
“Ramadan adalah bulan mulia yang mendidik jiwa kita tentang kesabaran, kesederhanaan dan keinsafan. Namun, realiti yang perlu kita hadapi saban tahun ialah peningkatan sisa makanan yang ketara sepanjang bulan berkenaan.
“Justeru, marilah kita jadikan Ramadan kali ini sebagai medan latihan untuk membentuk budaya dan amalan baharu iaitu menghargai makanan, merancang pembelian secara berhemah, mengambil makanan sekadar keperluan dan mengelakkan pembaziran,” katanya.-UTUSAN




