13 individu ditahan baling molotov ke penempatan Rohingya

13 individu ditahan baling molotov ke penempatan Rohingya

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes membaling bom petrol atau molotov di penempatan komuniti Rohingya di Kulai Besar, Kulai, di sini, 13 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek ditahan menerusi operasi yang dijalankan bermula 14 hingga 18 Oktober lalu di sekitar bandar raya ini hasil maklumat diterima.

Katanya, operasi itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

“Semakan mendapati empat daripada 13 suspek memiliki 12 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah. Polis turut merampas 13 telefon bimbit, tiga pasang pakaian dan tiga topi besbol daripada semua suspek.

“Empat suspek direman selama lapan hari termasuk lanjutan bermula 14 hingga 21 Oktober, manakala empat lagi direman selama tujuh hari termasuk reman lanjutan dari 15 hingga 21 Oktober.

“Seorang lagi suspek direman selama lima hari bermula 15 hingga 20 Oktober, manakala empat suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Oktober,” katanya menerusi siaran media di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian membaling molotov dipercayai menyebabkan kebakaran kecil pada pagar beberapa rumah di penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, di sini, pada 13 Oktober lalu.

Polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 1.30 pagi. Api kemudian berjaya dipadamkan dan tiada sebarang kecederaan atau kerosakan lain dilaporkan

Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan individu yang tidak berpuas hati dengan dua hantaran video tular di Facebook yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya mencabar orang tempatan supaya datang ke kawasan Kulai.

Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan jenayah yang boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian negeri ini.

“Siasatan akan dijalankan secara telus dan adil tanpa mengira kedudukan atau status individu yang terbabit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top