13 pemilik kerugian RM1.4 juta akibat dihempas ombak besar

13 pemilik kerugian RM1.4 juta akibat dihempas ombak besar

am@hmetro.com.my

Setiu: Lapan bot nelayan dan 10 bot gentian kaca milik 13 nelayan hanyut dalam kejadian ombak besar di Kampung Telaga Papan, di sini, mengakibatkan kerugian dianggarkan RM1.4 juta, awal pagi tadi.

Fenomena luar biasa itu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan bot nelayan, sebaliknya turut menyebabkan kerugian dialami penduduk apabila air melimpah setinggi lebih dua meter.

Pemilik bot, Jamaluddin Mohamad, 57, berkata kejadian dikatakan berlaku ketika penduduk bersiap untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kampung berkenaan ditenggelami kira-kira 12 tengah malam.

Menurutnya, dia menyedari kejadian kira-kira 7 pagi tadi selepas dimaklumkan tekong, Zakariya Yaacob, 67.

“Saya segera ke jeti dan terkejut apabila mendapati semua bot pelbagai saiz milik nelayan ‘hilang’ berikutan tali yang digunakan untuk mengikat bot terbabit putus.

“Keadaan bot bergelimpangan bagaikan sampah yang hanyut ke pantai,” katanya yang mendakwa kerugian lebih RM100,000 apabila enam bot kelas A miliknya rosak teruk.

Katanya, ombak besar dan arus deras menyebabkan tali pengikat bot terputus sebelum dihanyutkan ke laut.

“Selain bot, berbelas bot gentian kaca rosak dan kemungkinan besar ada yang sudah hanyut ke laut,” katanya.

Seorang lagi pemilik, Khairul Hassan Mohamad, 54, berkata kali terakhir kejadian seperti itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu yang memusnahkan hampir 20 chalet di kawasan pantai berkenaan.

“Air malam tadi sangat besar dengan ketinggian ombak sehingga 2.7 meter. Sebilangan bot yang berjaya diselamatkan selepas tersadai di pantai banyak mengalami kerosakan teruk membabitkan kulit (badan) dan enjin bot.

“Sebuah bot saya musnah teruk dan terpaksa mengambil masa untuk membaiki berikutan memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top