am@hmetro.com.my
Tawau: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes mereka.
“Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh di bawah Seksyen 302 dan memanggil kesemua tertuduh untuk membela diri,” katanya.
Duncan menetapkan prosiding bela diri itu pada 10 hingga 14 Mac ini.
Perbicaraan kes itu bermula 19 November tahun lalu dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah pengarah dan warden kolej, selain 10 saksi pelajar yang juga rakan sebilik mangsa serta penghuni asrama kolej terbabit.
Saksi pendakwaan lain termasuk pakar patologi, pakar kimia, pakar forensik dan pegawai polis.
Prosiding kes peringkat pendakwaan itu mengambil masa selama 12 hari.
Pada 13 Ogos tahun lalu, semua 13 pelajar itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili barisan peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pada prosiding pagi ini, galeri awam dipenuhi ahli keluarga semua tertuduh sejak 7.30 pagi.
Sementara, ibu kepada Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat, Siti Hamidah Jumari, 45, tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata sebaik keluar dari galeri awam mahkamah apabila hakim memberikan keputusannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




