bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 syarikat swasta serta korporat dalam industri padi dan beras negara, memberi sumbangan keperluan harian serta makanan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk disalurkan kepada golongan sasar.
MAFI dalam kenyataan di sini, hari ini, berkata sumbangan barang keperluan harian termasuk beras, minyak, gula dan pelitup muka dengan nilai keseluruhan RM205,400 itu bagi menjayakan program MAFI Prihatin yang dijalankan sejak Januari lalu.
“Prihatin dengan situasi semasa negara dan kesejahteraan rakyat terjejas dengan pandemik COVID-19, program MAFI Prihatin diperkasakan lagi dengan pembabitan pihak swasta dalam usaha memerangi pandemik COVID-19,” katanya.
Simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Wisma Tani, hari ini.
Syarikat terbabit termasuk PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Serba Wangi Sdn Bhd, OEL Distribution (KL) Sdn Bhd, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, Faiza Sdn Bhd, YHL Holdings Sdn Bhd, FGV Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Eco Agro Pentagon Sdn Bhd, Yayasan Kebajikan Pelajar Malaysia, Edaran Padi Sdn Bhd (Best Sekinchan) dan Vfive Group Sdn Bhd.
Katanya, program MAFI Prihatin bertujuan membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID- 19.
Selain itu, katanya, MAFI Prihatin turut menghulurkan bantuan kepada golongan terkesan akibat banjir dan bencana alam serta kepada badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan.
“Sejak 1 Jun hingga 18 Julai lalu, seramai 59,816 penerima menerima manfaat daripada MAFI Prihatin menerusi 264 program anjuran MAFI di seluruh negara membabitkan nilai bantuan RM5.2 juta,” katanya.
Katanya, bantuan MAFI Prihatin disalurkan menerusi pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Program MAFI Prihatin akan diteruskan terutama selepas mendapat kerjasama strategik dengan pihak swasta khususnya pemain industri agromakanan yang membolehkan lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




