13 tahun dah bawa motor ke sekolah!

13 tahun dah bawa motor ke sekolah!

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Memandu kenderaan dan menunggang motosikal tanpa lesen dilihat sudah lama dipraktikkan dan seolah-olah menjadi perkara biasa atau normal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bawah umur ketika ini.

Pemerhatian Harian Metro di jalan raya mendapati remaja seawal usia 13 tahun sudah dibenarkan menunggang motosikal ke sekolah atau ke kedai terutama di kawasan perumahan.

Situasi itu yang pada awalnya dianggap satu kesalahan atau tidak diterima, kini menjadi biasa dan semakin diterima dalam masyarakat.

Apa yang membimbangkan, mereka ini bukan saja membawa kenderaan tanpa lesen malah berani melanggar undang-undang jalan raya apabila menunggang secara melulu, tidak memakai topi keledar dan tidak patuh lampu isyarat.

Hal ini turut diakui Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mendedahkan terdapat segelintir ibu bapa yang meremehkan undang-undang dan tidak mementingkan keselamatan anak terutama berkaitan peraturan jalan raya.

“Saya menganggap mereka yang membenarkan anak menunggang motosikal atau memandu kenderaan tanpa lesen ini sebagai satu bentuk pengabaian serius.

“Ibu bapa atau penjaga memilih jalan pintas bagi memudahkan tugas harian dengan menyuruh anak menunggang ke kedai berhampiran.

“Tindakan itu bukan saja melanggar undang-undang, tetapi meningkatkan risiko kemalangan maut atau kecederaan parah kepada anak mereka dan pengguna jalan raya lain. Mereka ini beranggapan bahawa lesen memandu hanyalah formaliti sedangkan ia dikeluarkan serta ilmu dan latihan pemanduan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohd Yusri, tindakan membenarkan anak memandu tanpa lesen bukan sekadar kesalahan teknikal malah boleh membentuk corak pemikiran dan tingkah laku jangka panjang yang berisiko tinggi terhadap masa depan mereka.

Beliau berkata, kajian menunjukkan remaja yang mula melanggar undang-undang sejak awal lebih cenderung terbabit kesalahan berulang seperti lumba haram, dadah atau kecurian kerana mereka mungkin membentuk identiti sosial yang berkait dengan kumpulan berisiko tinggi.

“Kajian psikologi turut menunjukkan bahawa pelanggaran undang-undang kecil yang dibenarkan oleh ibu bapa boleh menjadi gateway kepada kesalahan lebih serius.

“Ini kerana mereka ini sering bergaul dengan kumpulan yang mengamalkan tingkah laku berisiko seperti lumba haram, vandalisme atau penyalahgunaan dadah.

“Anak turut belajar bahawa undang-undang boleh dilanggar jika tak kena tangkap dan mereka mungkin membesar dengan sikap yang tidak hormat terhadap peraturan seperti disiplin sekolah, etika kerja atau undang-undang negara,” katanya.

Selain itu, katanya, membenarkan anak memandu tanpa lesen sejak awal turut memberi kesan psikologi dan sosial apabila mereka ini berasa kebal terhadap hukuman termasuk sukar dikawal, sekiranya terbabit kemalangan atau kematian akan memberi kesan trauma atau rasa bersalah seumur hidup.

Menurutnya, rekod atau saman juga boleh menjejaskan peluang pendidikan dan pekerjaan anak seperti hilang kelayakan akademik atau kerjaya profesional sekiranya didakwa di mahkamah.

Ditanya mengenai kesedaran ibu bapa mengenai peraturan jalan raya, beliau berkata, ia masih belum memuaskan kerana ada antaranya kurang mengambil peduli dan menganggap memandu atau menunggang di kawasan rumah sebagai tidak berisiko.

“Antara alasan sering diberikan ibu bapa apabila anak ditahan memandu tanpa lesen adalah kenderaan diberi untuk kegunaan ke sekolah atau tidak tahu anak guna kenderaan,” katanya.

Menurutnya, kesibukan urusan harian mereka turut membawa kepada sikap ambil mudah dan mengabaikan aspek undang-undang, selain kurang terbabit dengan kempen atau program pendidikan keselamatan jalan raya.

Mohd Yusri menjelaskan ibu bapa atau penjaga yang membenarkan anak bawah umur memandu atau menunggang tanpa lesen sah boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas, bukan hanya membabitkan kesalahan trafik tetapi juga aspek pengabaian tanggungjawab terhadap anak.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu membenarkan individu tanpa lesen memandu kenderaan yang membawa hukuman denda minimum RM2,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau keduanya jika sabit kesalahan dan Seksyen 26(1) akta sama bagi individu memandu tanpa lesen, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM1,000 (RM2,000 bagi kes berulang) atau penjara tiga bulan.

Katanya, ibu bapa juga boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada risiko yang membawa hukuman denda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Hukuman yang lebih tegas wajar dikenakan kepada ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur memandu tanpa lesen.

“Isu pelanggaran undang-undang ini juga mencerminkan jurang dalam pendidikan, pengawasan dan budaya keselamatan jalan raya,” katanya.

Menurutnya, selain tindakan penguatkuasaan berterusan dan menyeluruh melalui operasi berkala di kawasan sekolah, taman perumahan serta hotspot lumba haram, kajian semula terhadap akta sedia ada juga dilihat sebagai usaha jitu dalam menangani isu itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top