Pelakon dan usahawan, Janna Nick menyentuh hati ramai apabila berkongsi momen manis bersama keluarga sebelum dirinya berangkat ke luar negara untuk tempoh sementara waktu.
Menerusi hantaran di TikTok, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 30, menitipkan pesanan penuh emosi buat adik-beradiknya yang ditinggalkan di Malaysia.
“Jaga mama, jaga rumah, jaga adik-adik. Sedar tak sedar, hampir 13 tahun saya jadi ketua keluarga. Dari adik masih sekolah rendah, sekarang dah nak habis belajar,” tulisnya.
Menurut Janna, selama lebih sedekad dia berusaha melengkapkan segala keperluan keluarga termasuk menjaga anak-anak saudaranya, apa yang diharapkannya hanyalah mereka membesar dalam persekitaran yang selamat dan mendapat pendidikan terbaik.
“Saya tahu mereka akan membesar dengan cepat. Satu hari nanti, momen ini akan jadi kenangan bila mereka sudah dewasa. Tapi saya bersyukur, Allah cukupkan rezeki bukan saja untuk saya, tapi untuk semua,” luahnya lagi.
@jannanickofficial AturanNya yang lebih indah #movingabroad
Isteri kepada aktor, Dini Schatzmann ini turut menganggap perjalanannya ke luar negara adalah aturan Allah untuk dirinya mengejar semula cita-cita yang pernah tertangguh.
Dalam masa sama, dia turut mendoakan agar keluarganya sentiasa dilindungi sepanjang ketiadaannya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen sebak dengan pengorbanan Janna sebagai ketua keluarga sejak di usia muda.
Tidak kurang juga yang menitipkan doa agar segala urusannya dipermudahkan dan perjalanan barunya diberkati.




