13 terjunan bukti keberanian STAR Team

13 terjunan bukti keberanian STAR Team

anbia@hmetro.com.my

Putrajaya: Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia terus melakar sejarah tersendiri apabila dua pegawainya berjaya menamatkan Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air dikendalikan oleh Pasukan Khas Udara (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama jurulatih penerjunan bertauliah Unit 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kursus intensif ini berlangsung di Lapangan Terbang Lama, Tekah, Taiping, Perak. bermula 10 hingga 22 Ogos lalu menyaksikan 15 peserta pelbagai agensi keselamatan negara, termasuk dua Pegawai STAR Team, seorang Pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM, manakala selebihnya daripada PASKUB BOMBA.

Dalam tempoh latihan, peserta berjaya melaksanakan 13 kali terjunan dari ketinggian 4,000 kaki (1,219 meter) dengan menggunakan pesawat Mi-17-IV (M994-01) BOMBA 01 sebagai platform rasmi terjunan.

Penyertaan julung kali STAR Team dalam kursus terjunan ini adalah langkah bersejarah selepas 20 tahun pasukan elit Maritim Malaysia itu ditubuhkan.

Ia membawa objektif besar bagi memperkukuh keupayaan taktikal dan kepakaran udara operator STAR Team dalam misi khas maritim.

Kursus ini turut menjadi saksi kepada pembabitan perintis daripada STAR Team iaitu Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor bersama Ketua Skuadron Gempur Sabah & Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nik Muhamad Hafizan Nik Muhamad Zawawi.

Upacara pemakaian sayap kepakaran terjunan disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Sri Ts. Nor Hisham Mohammad di Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM yang diadakan di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya pagi tadi.

Ini sekali gus mengiktiraf kejayaan peserta menamatkan kursus berprestij itu.

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu mewakili Kepimpinan Tertinggi Maritim Malaysia ialah Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony.

Kejayaan ini menandakan kerjasama strategik antara STAR Team Maritim Malaysia dan PASKUB Bomba, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan profesionalisme dan kesiapsiagaan aset elit negara di medan operasi sebenar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top