14 mangsa pemerdagangan selamat, polis bongkar sindiket penipuan

14 mangsa pemerdagangan selamat, polis bongkar sindiket penipuan

am@hmetro.com.my

Melaka: Seramai 14 mangsa pemerdagangan orang diselamatkan dalam serbuan Op Pintas oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan hasil maklumat dan risikan di dua rumah dekat Taman Klebang Besar dan di Jalan Tengkera bermula kira-kira 1 pagi.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita warga Filipina serta seorang wanita Myanmar, berusia antara 25 hingga 36 tahun.

Katanya, kesemua mangsa pada awalnya dijanjikan pekerjaan sebagai khidmat pelanggan, namun sebaik tiba di negara ini mereka dipaksa menyertai sindiket penipuan.

“Siasatan awal juga mendapati mangsa dikawal ketat selain tidak dibenarkan keluar dari rumah yang dijadikan pusat panggilan penipuan.

“Sindiket turut mengenakan hutang terhadap mangsa, merampas pasport serta memaksa mereka bekerja lebih masa tanpa kerelaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dzulkhairi berkata, semua mangsa diselamatkan mengikut Seksyen 44 ATIPSOM 2007 dan diletakkan di bawah perintah perlindungan interim selama 21 hari bermula hari ini yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, bagi siasatan mengikut Seksyen 51 akta sama.

Beliau juga berkata, menerusi serbuan sama, polis menangkap tujuh suspek terdiri daripada lima wanita dan dua lelaki warga Taiwan, China, Myanmar, Filipina dan Indonesia berusia 19 hingga 38 tahun.

“Lima suspek termasuk wanita Taiwan berusia 31 tahun bertindak sebagai pengurus sindiket dan pembantunya iaitu lelaki China berusia 28 tahun ditahan di lokasi pertama, manakala lelaki Myanmar dan wanita Indonesia ditahan di lokasi kedua di Jalan Tengkera,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top