sukan@hmetro.com.my
Langkawi: Sejumlah 140 peserta tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Belt and Road di Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi (RLYC) di sini, mulai Jumaat hingga Isnin ini.
Kejohanan pelayaran peringkat antarabangsa itu dihoskan oleh Biro Sukan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang dan Majlis Perbandaran Beihai, China, manakala RLYC diamanahkan sebagai penganjur acara itu di Langkawi.
Regatta pertama kali dianjurkan pada 2019 itu semakin dikenali dan mencapai objektif mempromosi pembangunan dan populariti sukan pelayaran secara global, selain mendapat pengiktirafan badan induk dunia (World Sailing).
Pengarah Eksekutif RLYC, Azlan Abdullah, berkata sejumlah 140 peserta yang telah mengesahkan penyertaan terbabit adalah dari China dan Singapura, selain beberapa pelayar berpengalaman tuan rumah, Malaysia.
“Kejohanan selama empat hari dengan kelajuan angin dianggarkan di antara 10 hingga 18 kilometer per jam itu mempertandingkan enam kategori iaitu Monohull, Multihull, International 420, Optimist, ILCA 6 dan ILCA 4.
“Selain trofi, hadiah wang tunai juga akan diberikan kepada pemenang bagi masing-masing kategori Monohull dan Multihull,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, awal bulan ini, pasukan RLYC yang mewakili negara ke kejohanan sama di Beihai, China berjaya menduduki tempat kelima, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,500.
“Selepas tamat acara di Langkawi, kejohanan sama akan berlangsung di Croatia mulai 14 hingga 18 November ini, diikuti di Turki 27 November hingga 1 Disember depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




