mhafis@mediaprima.com.my
Nilai: Seramai 144 pegawai kadet bagi Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 29 Bilangan 1/2026 (Penolong Penguasa Gred P5)melapor diri di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bandar Enstek, di sini, semalam.
Sesi pendaftaran yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu menandakan titik permulaan bagi pegawai kadet yang akan menjalani Kursus Latihan Asas selama hampir 18 bulan.
Program latihan yang komprehensif sebanyak 64 jam kredit ini merangkumi dua komponen utama iaitu Program Akademik dan Program Latihan Asas. Program Akademik membabitkan pembelajaran, manakala Latihan Asas merangkumi modul penilaian jasmani dan fizikal, disiplin serta kemahiran teknikal.
Bagi memberikan gambaran jelas mengenai kerjaya dalam badan pencegahan rasuah, satu taklimat perkhidmatan disampaikan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan SPRM, Dr Azlan Abd Aziz dan Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Mohd Fuad Abdollah bagi bagi sesi penerangan berkaitan urusan kewangan.
Selain itu, MACA turut mengambil inisiatif mengadakan sesi taklimat khusus kepada ibu bapa pegawai kadet yang disampaikan oleh Komandan Pusat Latihan Asas MACA, Muhammad Hazlisyam Mukhtar bertujuan memberikan kefahaman kepada ahli keluarga mengenai modul latihan serta tuntutan tugas sebagai seorang pegawai SPRM.
Sebagai sebahagian daripada prosedur mandatori bagi memastikan integriti dan kualiti pegawai kadet, sesi taklimat dan ujian urin turut dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan kesemua peserta bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Sementara itu , Pengarah Kanan MACA, Datuk Mohd Hafaz Nazar dalam amanatnya menyeru setiap kadet memanfaatkan tempoh latihan dengan sebaiknya melalui persediaan menyeluruh dari aspek mental, fizikal dan intelektual.
“Keseimbangan ini amat kritikal dalam melahirkan pegawai yang bukan sahaja cekap dan tegas dalam melaksanakan amanah, malah berpegang teguh kepada nilai profesionalisme, etika, serta prinsip perkhidmatan awam yang unggul,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, DatukJunipah Wandi; Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas MACA, Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan;Pegawai-pegawai Kanan MACA dan Pegawai-pegawai Bahagian Khidmat Pengurusan SPRM dan Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




