15 import bukan permintaan JDT – MFL

15 import bukan permintaan JDT – MFL

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan keputusan membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mendaftarkan 15 pemain import bagi musim depan bukanlah atas permintaan Johor Darul Ta’zim (JDT), sebaliknya diputuskan secara kolektif oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, ketetapan itu dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL kali ke-13, selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk surat daripada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang menyatakan hanya juara dan naib juara Liga Super layak beraksi dalam Kejohanan Kelab Asean musim hadapan.

“Pertambahan kuota pemain import ini dilihat mampu membantu kelab-kelab yang akan bersaing dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab Asia Tenggara memandangkan cabaran semakin sengit daripada kelab besar di rantau ini.

“Penyertaan kelab Liga M dalam kejohanan anjuran AFC juga penting untuk kedudukan ranking kelab Asia, bagi memastikan kelab dari Malaysia terus mendapat atau menambah slot ke pentas tertinggi bola sepak Asia,” katanya.

JDT akan beraksi dalam ACLE manakala Selangor FC pula dalam ACL2 dan kedua-dua pasukan itu turut layak ke Kejohanan Kelab Asean selepas AFF mengubah format kejohanan berkenaan.

“Bagi memastikan keadilan, MFL memutuskan untuk membenarkan kesemua pasukan Liga M mendaftar 15 pemain import. Terpulang kepada kemampuan dan keperluan pasukan sama ada mahu memanfaatkan kuota itu atau tidak.

“Jadi, tidak timbul isu MFL tunduk kepada permintaan JDT kerana keputusan ini dibuat bersama, berdasarkan keperluan semasa dan kemampuan semua pasukan,” katanya.

Sebelum ini, wujud kritikan di media sosial mendakwa keputusan itu dibuat semata-mata bagi memenuhi kehendak JDT, susulan pengumuman rasmi MFL yang membenarkan semua pasukan Liga M mendaftarkan sehingga 15 pemain import, dengan had 7 2 (termasuk simpanan) di atas padang melalui komposisi 4 terbuka, 1 Asia dan 2 ASEAN.

Untuk rekod, musim lalu hanya kelab yang layak ke ACLE dan ACL2 dibenarkan mendaftarkan 12 pemain import, manakala pasukan lain terhad kepada sembilan pemain dengan komposisi 6 1 (satu simpanan) pemain di atas padang.

Scroll to Top