150 asnaf, OKU teruja pilih sendiri baju raya di Jakel

150 asnaf, OKU teruja pilih sendiri baju raya di Jakel

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) meraikan seramai 150 asnaf dan orang kurang upaya (OKU) menerusi Program Temu Seru Ramadan 1447H di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Jakim dan YWM bersama rakan-rakan strategik melalui Tabung Musaadah telah bekerjasama dengan Jakel dan Sekretariat Dakwah Korporat bagi menggembirakan insan-insan yang kurang bernasib baik dalam membuat persiapan Aidilfitri.

Katanya, program itu hasil kerjasama erat antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan sektor korporat seperti Jakel adalah sejajar dengan usaha ‘Madani Membantu’ yang dipelopori oleh pihak kerajaan.

“Menerusi program ini membolehkan anak-anak dan golongan asnaf memilih sendiri rekaan, watak kartun kegemaran, serta warna baju raya yang diidamkan.

“Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat dermawan, malah kita berada di tangga kedua dunia dalam Indeks Kedermawanan Dunia (World Giving Index),” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Feroz Mohamed Jakel pula berkata, kegembiraan yang terpancar pada wajah kanak-kanak serta golongan OKU sehingga ada yang menitiskan air mata adalah satu kepuasan yang amat bernilai.

“Jakel menerima kunjungan kira-kira 50,000 orang kanak-kanak, golongan OKU, dan asnaf yang datang untuk membeli-belah pada bulan Ramadan ini hasil tajaan pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

150 orang asnaf itu terdiri daripada 40 orang pelajar dari Felda Gedangsa dan Soeharto, serta golongan rentan.

Turut diraikan adalah OKU penglihatan daripada Persatuan Kebajikan Al Rayyan, serta OKU Cerebral Palsy daripada Pertubuhan Kasih, Wheel Runners, dan Proc jaya. – UTUSAN

 

Scroll to Top