15,000 jururawat di New York mogok

15,000 jururawat di New York mogok

New York: Jururawat di New York City keluar mogok di 10 hospital swasta utama di seluruh bandar pada Isnin bagi menuntut penambahan kakitangan, pembiayaan faedah kesihatan serta perlindungan daripada keganasan di tempat kerja yang sering datang daripada pesakit.

Datuk Bandar Zohran Mamdani, yang baru dua minggu memegang jawatan, menyertai barisan piket bagi menyokong 15,000 jururawat yang menurut Persatuan Jururawat Negeri New York (New York State Nurses Association, NYSNA) terlibat dalam mogok tersebut.

“Mereka bukan meminta gaji berjuta-juta dolar. Apa yang mereka minta ialah pencen mereka dilindungi, keselamatan di tempat kerja mereka terjamin, serta menerima gaji dan faedah kesihatan yang sewajarnya,” kata Mamdani kepada pemberita.

Mount Sinai berkata, cadangan kesatuan itu akan menelan kos sebanyak AS$1.6 bilion sepanjang tiga tahun, dengan peningkatan kos kejururawatan sebanyak AS$638 juta menjelang tahun ketiga, iaitu 74% lebih tinggi daripada kos semasa.

Gabenor Negeri New York, Kathy Hochul, telah mengisytiharkan darurat bencana minggu lalu, membolehkan kakitangan perubatan dari luar negeri dan luar negara dipanggil bagi menggantikan kakitangan yang mogok.

Pengisytiharan darurat itu berkuat kuasa sehingga 8 Februari.

Pada pagi Isnin, puluhan jururawat menyuarakan kekurangan faedah penjagaan kesihatan serta ketidakupayaan untuk mengambil rehat yang mencukupi semasa syif mereka ketika berhimpun di luar Hospital NewYork-Presbyterian di kawasan uptown Manhattan.

NewYork-Presbyterian merupakan salah satu daripada tiga rangkaian penjagaan kesihatan yang terjejas oleh mogok tersebut, bersama Mount Sinai dan Montefiore.

“Di bilik pembedahan, saya bekerja sebagai jururawat syif malam dan kami sentiasa kekurangan kakitangan, dan ini tidak selamat untuk pesakit,” kata Michael Lazar, 53, seorang jururawat NewYork-Presbyterian.

Mount Sinai berkata pihaknya telah mendapatkan lebih 1,000 jururawat agensi yang berkelayakan dan berpengalaman khusus untuk menggantikan petugas yang mogok dan memastikan rawatan dapat diteruskan “selama mana mogok berlangsung”.

NewYork-Presbyterian pula berkata semua hospitalnya masih dibuka dan terus menyediakan perkhidmatan.

Montefiore tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen. Satu notis di laman webnya menyatakan bahawa perkhidmatan tidak akan terjejas akibat mogok tersebut.

Menurut Mount Sinai dan NYSNA, kesatuan dan pihak hospital telah mengadakan pusingan rundingan terakhir sehari sebelum mogok bermula. Sehingga petang Isnin, tiada maklumat mengenai rundingan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top